Friday, September 17, 2010

Agama Terbesar Di Malaysia: Konsumerisme

Nak tanya sikit. Soalan ini ditujukan kepada penduduk bandar-bandar sekitar Malaysia terutamanya yang tinggal di Lembah Kelang. Tahu tak anda semua menyembah dua agama? Yang pertama adalah agama atau fahaman yang anda amalkan sejak lahir ataupun kepada mu'allaf, yang baru anda amalkan. Tetapi sedar tak anda pun secara tidak langsung mengamalkan satu lagi "agama" yang juga dianuti semua orang tanpa mengira kaum, jantina, umur dan darjat: kepenggunaan atau dalam bahasa Menggeris "konsumerisme." Wikipedia Indonesia memberi takrif yang menarik, terutamanya ayat kedua: 
"Konsumerisme adalah paham atau ideologi yang menjadikan seseorang atau kelompok melakukan atau menjalankan proses konsumsi atau pemakaian barang-barang hasil produksi secara berlebihan atau tidak sepantasnya secara sadar dan berkelanjutan. Hal tersebut menjadikan manusia menjadi pecandu dari suatu produk, sehingga ketergantungan tersebut tidak dapat atau susah untuk dihilangkan. Sifat konsumtif yang ditimbulkan akan menjadikan penyakit jiwa yang tanpa sadar menjangkit manusia dalam kehidupannya."
Agama ini tidak memerlukan kitab malah rukun; agama ini hanya memerlukan rumah-rumah ibadah mega yang dibina dengan teguh dan megah di setiap pelosok agar menjadi tumpuan penganutnya setiap hujung minggu. Pendingin hawa yang dipasang penuh dan kuat membolehkan para penganut melakukan tawaf bertingkat selama berjam-jam tanpa mengeluarkan setitik peluh pun. Lapar atau dahaga? Ajaran universal ini memastikan pengikutnya disaji dengan pelbagai juadah dari Timur hingga ke Barat. Sebesar mana pun, agama ini tetap akan memastikan anak-anak buahnya selesa dan akan setia kepadanya sehingga akhir hayat.

Agama ini boleh dikatakan mengamalkan konsep politheisme dimana setiap rumah ibadah mega menempatkan puluhan, kadangkala ratusan, tuhan untuk disembah. Politheisme ini mungkin menyinggung para monotheis atau atheis tetapi mereka tidak perlu risau kerana agama ini juga cenderung kepada fahaman liberal. Anda hanya mahu melihat rahmat-rahmat yang ditayangkan oleh tuhan-tuhan ini? Boleh. Anda mahu setia kepada satu tuhan dengan menyalurkan wang Ringgit anda kepada dia sahaja? Boleh. Anda hanya mahu sujud kepada tuhan-tuhan yang memaparkan tanda "SALE" di pintu gerbang mereka? Sudah tentu boleh!

Selaras dengan sifat universal, agama ini hanya mempunyai satu rukun sahaja: duit. Penjelasan rukun ini amat mudah: jika anda ada wang, anda berhak membeli syurga anda sendiri. Anda akan diangkat oleh awan eskalator dan dibawa menghadap tuhan pencipta produk; setelah mengorbankan pendapatan hasil bantingan tulang anda kepada malaikat-malaikatnya, anda akan membawa pulang syurga anda di dalam beg plastik ke rumah untuk dipamerkan kepada para penganut lain kelak. Apabila anda rasa bosan dengan syurga itu, maka tibalah masanya untuk mengunjungi rumah ibadah mega untuk membeli syurga baru. Patah tumbuh, hilang berganti.

Sedar tidak sedar, agama ini tidak perlukan gerombolan-gerombolan pendakwah untuk dihantar ke seluruh pelusuk alam; agama ini tidak perlukan percaturan dakwah secara terbuka atau secara kiasan. Konsumerisme hanya memerlukan generasi masakini untuk menerimanya dengan hati dan tangan terbuka dan mengharap agar generasi baru akan lahir terus dalam fahaman ini. Maka lihat dengan sendiri lah bahawa kitab-kitab suci akan diganti dengan perlahan-lahan oleh beg beli-belah yang jenamanya seantero apabila tamadun manusia menjejak langkah-langkah kecil ke abad-22.

P/S: Inspirasi karangan ini daripada novel "Kingdom Come" oleh J.G. Ballard.

2 comments:

ilhamamanina said...

suka post ini. tulislah post pasal facebook!! n fenomena suka amik gmbr n letak gmbr2 cantik

Danial said...

haha so far facebook & its users have been behaving...so no rants yet